Posted by: perantauhikmah | September 15, 2008

Pencetus Pemikiran

Genap sebulan kehidupanku bermula di bumi ilmiah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sebuah institusi yang gah disebut-sebut, melahirkan teknokrat yang telusnya menjadi modal insan berguna buat negara. Tidak kurang graduannya mempunyai intelektual yang tinggi bahkan cemerlang juga dari aspek membudayakan suasana Islam dalam diri mereka. Tetapi pemikiran akal logik juga pastinya mempertikaikan, apakah ada perkara yang sempurna melainkan yang maha Pencipta?ingin ku katakan di sini,tidak dinafikan juga di tempat begini dicemari noda. Kurang kefahaman?kurang penghayatan? Siapakah yang berperanan menyucikan?

Hadir seorang rakan menyatakan keprihatinan. Syukurku atas kesedaran temanku itu. Dia bertanya padaku satu soalan yang sukar untukku menjawab dalam kata yang ringkas. Lalu, tergerak untukku menghuraikannya dalam halaman perantauanku ini…

“ Aku hairan masih ada rakan-rakan kita berkelakuan begitu, padahal ini adalah menara ilmu islam… apa pendapat kau? Adakah kita berperanan untuk menegur? “

Saudara Islamku sekalian, mengapakah soalan sebegini ditimbulkan? Adakah tanggungjawab itu terletak pada sesuatu pihak? Mengapakah tiada kefahaman yang jelas bahawa setiap mu’min adalah bertanggungjawab menegakkan yang ma’ruf serta mengegah yang mungkar?

“ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah orang-orang yang beruntung “ (Ali ‘Imran : 104)

Adakah perkataan ‘ segolongan ‘ dinilai untuk memikirkan siapa yang bertanggungjawab? Sahabatku, lihatlah pada potongan ‘ merekalah orang-orang yang beruntung’ , apakah potongan ini tidak diambil kira untuk memikirkan secebis harapan untuk kita mengemis keuntungan akhirat? Ingatlah ayat yang lazim di mulut para imam masjid mahupun surau...

“ Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. “ (Al-Asr: 2 & 3)

Hmmm…indah sungguh permainan bahasa kitab junjungan kita,betul? Tapi, untuk melihat keindahannya dengan lebih penghayatan, memerlukan sedikit engsotan untuk berfikir dan mengkaji, jadi, usahalah sahabatku. Nescaya kalian akan dapat memahami erti hidupmu di hamparan duniawi.

Kembali pada perbincangan. Perasan atau tidak, perkataan ‘untung’ dan ‘rugi’, kedua-dua perkataan ini saling berperanan memberi soalan dan jawapan untuk soalan sahabat ana tadi. Sudahkah kalian mengerti huraian ini?

Tidak mengapa, biar saya simpulkan. Perkara pertama yang perlu disematkan dalam pemikiran seorang dai’e adalah kesedaran tentang tanggungjawabnya. Elemen yang penting untuk mencetuskan kesedaran ini adalah memahami pesanan kedua-dua ayat ini. Mereka perlu tahu ganjaran dan balasan tentang pelaksanaan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar ini. Mudah, yang melakukan mendapat keuntungan, yag meminggirkan mendapat kerugian.

Teruskanlah melayari perantauan saya ini. Akan saya umpilkan sedikit demi sedikit kefahaman tentang pemikiran seorang neomuslim dan ultramu’min. Semoga penyatuan kefahaman membawa kepada penyatuan segala-galanya. Bersatu melangkah menggapai keredhaan.


Tinggalkan komen

Kategori